KUCHING, 18 Oktober - Produk minuman unik berasaskan industri teh iaitu bunga Orkid berpotensi menjadi satu lagi produk berasaskan alam semula dari Sarawak.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia diilhamkan daripada legasi arwah isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
Katanya, idea penghasilan teh orkid itu adalah semasa pertemuan bersama Persatuan Orkid Sarawak beberapa tahun lalu dan kini akan diteruskan oleh anak perempuannya.
“Kalau orang barat ada earl grey, ada jasmine, kita boleh mengeluarkan teh yang berteraskan kepada orkid, itu adalah keaslian kita yang pastinya ada khasiat, sedangkan saya pun tak pernah tahu, isteri saya lebih tahu daripada saya dan ini adalah legasinya di mana anak saya dengan sekumpulan masyarakat akan usahakan ini sebagai satu industri yang unik kepada sarawak”, ujarnya.
Premier menambah melalui penyelidikan saintifik, Sarawak boleh menghasilkan produk unik yang difahami oleh komuniti antarabangsa dan menjadi kebanggaan negeri.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Sekalung Budi, Tautan Kasih dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Sarawak Forestry Corporation di sini, malam tadi.