NAKA, 18 Oktober -Projek Mini Estet Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Naka di Kampung Masjid Lama, Naka, Padang Terap, berjaya mencatat hasil tuaian padi mencecah hingga tujuh tan metrik perhektar bagi musim pertama tahun ini.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia merupakan satu pencapaian terbaik dengan penggunaan benih padi variati MR 269 daripada loji benih padi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah.
Walaupun berdepan kekangan luar dari skim pengairan dan hanya bergantung kepada sumber air hujan semata-mata, namun ia tidak menghalang peserta projek untuk berusaha mendapatkan hasil yang terbaik.
"Projek Mini Estet Padi (MEP) PPK Naka mula dilaksanakan sejak tahun 1989 yang dahulunya dikenali sebagai Projek Padi Kelompok.
Kini ia melibatkan tujuh unit peladang dengan keluasan berdaftar 501.32 hektar serta penyertaan 235 orang peserta.
"Tujuan utama projek ini adalah untuk meningkatkan pendapatan peladang melalui pengurusan ladang secara bersepadu, tersusun dan berteknologi moden," katanya ketika merasmikan Program Tuai Padi Mini Estet PPK Naka di Kampung Masjid Lama, Naka, dekat Padang Terap, Kedah
Beliau berkata, pendekatan mini estet itu membolehkan tanah sawah peserta digabungkan untuk diurus bersama, bagi mencapai peningkatan produktiviti, pengurangan kos, dan pemaksimuman keuntungan yang turut menyokong penggunaan teknologi moden, penjadualan penanaman seragam, dan pengurusan input secara terancang.
PPK Naka juga memainkan peranan aktif dalam mengurus pembiayaan input pertanian, perkhidmatan jentera pembajakan dan penuaian, serta memberi bimbingan teknikal dan pemindahan teknologi kepada peserta melalui kerjasama LPP, jabatan serta agensi berkaitan.
"Kejayaan yang ditunjukkan oleh PPK Naka itu akan menjadi model rujukan nasional bagi PPK lain, membuktikan bahawa dengan bimbingan berterusan, sokongan peruntukan serta komitmen peladang, sektor padi negara mampu kekal mampan dan menjadi tunjang kepada keterjaminan makanan negara,"katanya.
Datuk Mahfuz berkata, LPP akan terus memperkukuh model Mini Estet di seluruh negara sebagai platform ke arah transformasi pertanian moden, di samping memberi tumpuan kepada penglibatan peladang muda, penggunaan teknologi hijau dan pendigitalan dalam pengurusan ladang.