fb fb fb fb fb

Banjir di Johor makin surut, tiga PPS telah ditutup

(Salah sebuah rumah penduduk di Mersing masih ditenggelami air, namun cuaca di semua daerah dilaporkan cerah setakat 12.00 tengah hari)

JOHOR BAHRU, 27 Januari- Banjir di Johor semakin surut.

Penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan iaitu sebanyak 4,532 orang daripada 1,247 keluarga di 46 PPS, berbanding 4,868 orang pada 8.00 pagi tadi.

Tiga buah PPS telah ditutup iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya Pontian, GPW Felda Medoi di Segamat dan Dewan Serbaguna Felda Gugusan Maokil, Muar.

Menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, sebanyak lapan daerah terjejas iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

Dalam pada itu, lima sungai merekodkan aras bahaya iaitu Sungai Muar di Muara Sungai Gemas, Sungai Lenik di Ladang Chaah, Sungai Muar, Sungai Kahang di Kampung Contoh Kluang dan Sungai Endau.

Sehingga 12.00 tengah hari, cuaca di semua daerah negeri Johor cerah.

Sementara itu, hanya dua sahaja jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Tanah Abang dan Jalan Felda Medoi, selain Jalan Sungai Tiram – Ulu Tebrau yang ditutup akibat tanah runtuh.


(Penduduk yang berlindung di PPS semakin berkurangan)

Media Baharu