fb fb fb fb fb

Banjir besar: Kerosakan infrastruktur awam dan milik JPS berjumlah RM640 juta

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Banjir besar yang berlaku di beberapa negeri pada penghujung 2021 dan awal 2022 lalu telah merosakkan infrastruktur awam serta kemudahan milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dianggarkan berjumlah RM640 juta.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman, berkata kementeriannya telah menyelaras semula peruntukan dalaman sedia ada bagi memastikan kerja-kerja pasca banjir dapat segera dilaksanakan.

"Untuk memastikan kerja pascabanjir dapat dilaksanakan dengan segera, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyelaras semula peruntukan dalaman sedia ada bagi kerja pembaikan demi mengurangkan impak banjir di seluruh negara.

"Bagi kawasan yang terjejas akibat banjir yang memerlukan penyelesaian secara menyeluruh, kementerian akan memohon peruntukan jangka panjang melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun," katanya.

"Langkah-langkah ini diambil supaya setiap pendekatan struktur dan bukan struktur bagi menangani masalah banjir dapat dilaksanakan dengan mengambil kira faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk dan pelaksanaan projek-projek melibatkan sektor air dan infrastruktur. perincian ini bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang telah diumumkan oleh KASA dalam mesyuarat khas parlimen berkaitan banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir pada 20 Januari 2022,"katanya.

(Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini)

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan 15 bilion ringgit, bagi tempoh 2023 sehingga 2030.

Katanya, ia mengambil kira fenomena banjir ketika Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius hingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Januari lalu, Ketua Perangkawan - Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, banjir melanda 11 negeri di Malaysia dalam tempoh tersebut, merekodkan kerugian 6.1 bilion ringgit, bersamaan 0.40 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar,(KDNK).

Beliau menjawab soalan asal Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mengenai kerugian akibat banjir besar hujung tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata, kelemahan sistem ramalan hujan dan banjir yang tidak terperinci adalah antara faktor kegagalan pemakluman awal kepada orang ramai mengenai risiko banjir di ibu negara minggu lalu menyebabkan ribuan kenderaan ditenggelami air.

"Sistem ramalan hujan dan banjir sedia ada tidak dapat menunjukkan lokasi hujan dengan tepat dan terperinci, sekali gus menyukarkan ramalan dan amaran banjir dibuat lebih awal.

"Berkenaan sistem amaran yang perlu diberi lebih awal kepada penduduk, memang betul kita tidak dapat memberikan lokasi tepat di mana ia (hujan) akan berlaku.

"Kita boleh beri amaran satu atau dua hari lebih awal tapi tak boleh nak perincikan kawasan di mana ia akan berlaku. Ini jadi isu besar.

"Contohnya, seperti banjir di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hujan berlaku di lembangan Sungai Bunus, tapi amaran awal yang kita keluarkan tidak perincikan ia akan datang di Sungai Bunus. Itu kita akui," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang bertanya mengapa Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) tidak digunakan bagi memberi amaran awal kepada orang awam di Kuala Lumpur mengenai risiko banjir, sekali gus membolehkan kenderaan dipindahkan ke lokasi selamat.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) sedang merangka dan menambah baik sistem baharu bagi mengatasi isu berkenaan.

Media Baharu