fb fb fb fb fb

Skuad Kedahfm Jelajah Kami Prihatin Cakna Komuniti santuni penduduk terjejas banjir

BALING, 15 Julai- Penduduk terjejas banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang di sini masih lagi trauma meski sudah lebih seminggu kejadian berlaku.

Prihatin dengan nasib yang menimpa mereka, Skuad Kedahfm Jelajah Kami Prihatin Cakna Komuniti tampil menyantuni penduduk dengan membantu membersihkan rumah dan kawasan persekitaran.

Bagi Mashitah Mustaffa, kehadiran skuad ini nyata membawa senyuman buatnya sekeluarga.

"Air ketika itu naik sampai kepala dan kami hanya sempat lari menyelamatkan diri tetapi semua barang tak dapat diselamatkan.

"Sangat berterima kasih dengan kehadiran Skuad Jelajah Kami Prihatin Cakna Komuniti yang membantu mengemas rumah akibat banjir yang berlaku," katanya kepada wartawan RTM, Noorhidayah Anuar.

(Mashitah Mustaffa)

Mengingati semula kejadian itu, Mashitah yang tinggal di kampung Belakang Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang hanya mampu berlari menyelamatkan diri ke kawasan jalan raya kira-kira pukul 8 malam selepas limpahan mendadak air Sungai Kupang yang terketak di belakang rumahnya.

Sayu melihat banyak kerosakan dan barangan musnah, apatah lagi memikirkan tiada kudrat untuk membersihkan baki di bahagian luar rumah yang bertimbunan dengan perkasasan yang rosak.

(Skuad Jelajah Kami Prihatin Cakna Komuniti sedang melakukan kerja-kerja pembersihan)

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan halaman rumah dan perkakasan dilakukan dengan kehadiran kira-kira 18 kakitangan.

Ini termasuk memastikan jika ada peralatan elektrik yang masih boleh digunakan.

"Skuad Kedahfm turun padang membantu penduduk terjejas dengan melakukan kerja-kerja pembersihan dan memberi sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan mereka," kata Penerbit Jelajah Kami Prihatin Cakna Komuniti, Nurul Hana Asmayani Nuzlan.

"Kami bersama rakan dari SWCorp, CDERT Kuala Kedah membantu memberikan perkhidmatan membawa pakaian ke dobi. Jika berkesempatan ingin datang lagi ke Kupang membantu kerana masih banyak lagi rumah yang terkesan," menurut Iskandar Kadir@Dj Is.

Bukan sekadar khidmat kudrat, turut disampaikan kelengkapan rumah bagi meringankan beban penerima hasil kutipan kilat daripada kakitangan, individu dan penaja.

Antara penerima, keluarga Norfadzila Aziz dan waris mangsa Abd Rahman Said yang kehilangan isteri, anak dan menantu dalam tragedi itu.

Media Baharu