fb fb fb fb fb

Banjir Baling: MAIWP peruntuk RM1.3 juta bantu penduduk terjejas

BALING, 17 Julai- RM1.3 juta diperuntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Yayasan Taqwa bagi bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Baling, Kedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ia merangkumi RM672,000 bantuan tunai dan RM270,000 bagi pembinaan tiga buah rumah termasuk perabot.

Selain, RM300,000 untuk membaiki dan memperindah semula Yayasan Al-Khairiah serta RM58,000 bantuan kepada masjid dan surau terlibat.

Selain itu, Skuad Musaadah turut menyampaikan sumbangan tambahan dalam bentuk dapur memasak dan tong gas bernilai RM24,200 dan RM20,000 sumbangan wang tunai oleh Masjid Putra, Putrajaya untuk diagihkan kepada penduduk terjejas.

"Sumbangan yang kita berikan tidaklah sebesar mana berbanding dengan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara, mangsa kita di Baling ini.

"Walau bagaimanapun kita masukkan sedikit kegembiraan kepada mereka agar ia akan dapat meringankan kedukaan dan rasa hiba yang dialami sejak ditimpa banjir," katanya.

(Idris Ahmad)

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir Skuad Musaadah Keluarga Malaysia di Yayasan Al-Khairiah, Kupang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Kejadian banjir lumpur yang berlaku pada 4 Julai lalu telah meragut tiga nyawa sekeluarga, selain menyebabkan ratusan rumah mengalami kerosakan dan sebahagiannya hanyut dibawa arus.

Media Baharu