fb fb fb fb fb

Banjir: 30 rumah berhampiran Sungai Baling dinaiki air

Rumah penduduk di Baling yang dinaiki air

BALING, 12 November- Sebanyak 30 buah rumah di dua mukim dekat daerah Baling, Kedah terjejas dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.

Hujan lebat berterusan selama beberapa jam pada petang semalam menyebabkan paras air di Sungai Baling melimpah ke penempatan penduduk berhampiran tebing sungai.
 
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, ia melibatkan 24 buah rumah di enam buah kampung di mukim Pulai iaitu Kampung Asam Jawa, Kampung Charuk Gorok, Kampung Padang, Kampung Bukit Hilir, Kampung Bukit Hitam dan Kampung Lanai.
 
Sementara di mukim Teloi Kanan melibatkan enam buah rumah di Kampung Tembak B, Paya Menora dan Kampung Guar Tinggi.
 
Petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah terbabit bersama pelbagai agensi dan jabatan berkaitan termasuk bomba serta polis sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
 
Penduduk juga dinasihat untuk segera berpindah sekiranya paras air semakin meningkat dan berbahaya kepada keselamatan mereka.

SITI AISHAH BINTI MD ISA