fb fb fb fb fb

Banjir: 121 penduduk masih berlindung di PPS di Kedah, Perak

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 November- Perkembangan banjir di Perak setakat pukul 10 pagi tadi menyaksikan jumlah penduduk terjejas banjir di negeri itu menunjukkan pengurangan, iaitu 101 orang daripada 28 keluarga. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka melibatkan tiga daerah iaitu Hilir Perak, Kerian dan Kinta.

Di Daerah Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 17 penduduk daripada empat keluarga.

Sementara itu, di daerah Kerian iaitu PPS Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak kekal menempatkan 18 penduduk daripada tiga keluarga. 

Di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu pula menempatkan 57 penduduk daripada 19 keluarga, manakala di daerah Kinta, sembilan penduduk daripada dua keluarga kekal ditempatkan ke PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A Ipoh.

Di Kedah pula, hanya satu sahaja PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan SK Malau, daerah Kubang Pasu.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, setakat pukul 12 tengah hari, seramai 20 penduduk daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS terbabit.

Banjir yang melanda di Kampung Lahar, Paya Tok Keong, Paya Tok Teh G dan kampung Tok Biak, sejak 13 November lalu belum surut sepenuhnya.

Sementara itu, PPS SK Titi Gajah telah ditutup pada pukul 10.00 pagi tadi.

ZEHRA BINTI ZAMBRI