fb fb fb fb fb

Banglo biru diancam hakisan berjaya diselamatkan

Selepas hampir enam bulan diselubungi kebimbangan akibat hakisan pantai, banglo biru milik Mohd Yazit di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Terengganu berjaya diselamatkan.

KUALA NERUS, 2 Jun - Aidiladha kali ini lebih bermakna.

Selepas hampir enam bulan diselubungi kebimbangan akibat hakisan pantai, banglo biru di Kampung Tanjung, Batu Rakit Terengganu berjaya diselamatkan selepas kerja tambakan siap sepenuhnya, Khamis lalu.

Pemiliknya, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, kerja-kerja menyelamat rumahnya bermula sejak 21 Mei lalu dan mengambil masa lebih seminggu untuk disiapkan menggunakan kaedah tambakan bongkah batu dan tanah bukit.

"Tambakan dibuat di sekeliling rumah saya setinggi antara 3.6 hingga 4.5 meter. Bukan mudah untuk atur batu-batu tersebut kalau tiada kepakaran. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana rumah ini selamat," katanya.

Menurutnya, dianggarkan lebih 85 meter tanah miliknya yang menghala ke pantai telah tenggelam, manakala sebahagian besar tanah asal di kawasan itu telah terhakis akibat dibadai ombak ketika Monsun Timur Laut, Disember tahun lalu.

"Saya harap kerja-kerja membina benteng pemecah ombak yang kini sedang berjalan dapat membantu mengurangkan kesan hakisan dan dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh nanti," katanya.

Kisah banglo biru bernilai RM600,000 miliknya yang dikhuatiri musnah akibat fenomena hakisan tular di media sosial selepas mendapat liputan media.

Rumah dibina hasil wang pencen itu dihadiahkan kepada arwah isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos yang meninggal dunia pada 2019 akibat kanser usus.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN