fb fb fb fb fb

Bangkai helikopter terhempas dinaikkan

Bangkai helikopter AS355N milik polis yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah pada 10 Julai lalu, dinaikkan pada 11 pagi tadi di Sungai Pulai berhampiran Jeti APMM. 

ISKANDAR PUTERI, 17 Julai – Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai pada 10 Julai lalu berjaya dinaikkan kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Operasi bermula seawal 8 pagi itu melibatkan pelbagai agensi bagi menaikkan semula bangkai pesawat yang tenggelam sejak seminggu lalu.

Bangkai helikopter bernombor pendaftaran 9M-PHG itu berjaya dinaikkan menggunakan kren sebelum diangkat ke atas dek sebuah kapal kira-kira 15 minit kemudian.

Antaranya Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (JKDNKA), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PPM, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berada di Markas Operasi Sungai Pulai.

Menurut pihak berkuasa, siasatan mengenai punca kejadian akan diteruskan.

Helikopter berkenaan terhempas ketika menyertai program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025 dan membawa lima kru ketika insiden berlaku.

Seorang daripada kru, Konstabel RG Devendran, dilaporkan masih kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

GRACE AISYAH KEDAYAN