fb fb fb fb fb

Ban MADA pecah, 75,000 akaun pengguna SADA berdepan gangguan bekalan air

ALOR SETAR , 10 Mei - Kira-kira 75,000 akaun pelanggan Syarikat Air Darul Aman (SADA) di daerah Kota Setar dan Pokok Sena berdepan gangguan bekalan air berikutan insiden ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan terusan tengah pecah di Pokok Sena, tengah hari tadi.

SADA menerusi akaun Facebooknya memaklumkan, dua loji rawatan air (LRA) aitu LRA Pokok Sena dan LRA Bukit Pinang terpaksa dihenti tugas bagi memberi laluan kepada kerja kecemasan.

Menurut SADA, sebanyak 60,000 akaun dianggarkan terjejas di daerah Kota Setar mulai 4.15 petang dan 15,000 akaun di kawasan Pokok Sena mulai 4.45 petang.

Gangguan bekalan air itu dijangka berterusan sehingga kadar aliran dan paras air sungai kembali normal.

Sementara itu, Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika ditemui wartawan memaklumkan, insiden itu disebabkan hujan lebat di kawasan terbabit pada Ahad lepas yang menyebabkan aliran sungai tidak terkawal dan berlaku peningkatan paras air dari tadahan Sungai Padang Terap.

(Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika ditemui wartawan selepas meninjau kawasan ban terbabit)

"Kejadian ini adalah berpunca daripada turunnya hujan yang agak lebat, keadaan ini telah menyebabkan ia melepasi alur limpah itu," katanya.

Menurut beliau, MADA dan SADA telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan kerja pembinaan sekatan sementara di Sungai Bukit Pinang bagi mengawal paras air di Terusan Tengah supaya operasi LRA SADA tidak terjejas.

Media Baharu