SETIU, 1 Mac- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan membangunkan Balai Cerap KUSZA sebagai hab pelancongan astronomi dengan kerjasama Jabatan Pelancongan negeri serta pelbagai agensi berkaitan.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk cerapan meteor, cerapan gerhana matahari serta cerapan bulan.
Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata perbincangan telah dilakukan di peringkat universiti bagi memasukkan lokasi tersebut ke dalam kalendar pelancongan negeri bagi menarik pengunjung dalam dan luar negara.
Menurutnya, Balai Cerap KUSZA yang mula beroperasi sejak 1992 memiliki teknologi cerapan tercanggih di Pantai Timur dan menjadi rujukan pelajar khususnya dalam bidang Sains Teknologi.
"Cuma ada beberapa perkara di peringkat universiti yang perlu dinaik taraf dan telah diberikan dana serta peruntukan secara konsisten sama ada di peringkat universiti atau kementerian.
"Insya-Allah agenda pelancongan ini akan dipertingkatkan bagi menjadikan Balai Cerap KUSZA sebagai destinasi tumpuan yang lebih menarik," katanya kepada pemberita selepas program cerapan bagi melihat anak bulan Ramadan di Merang di sini semalam.
Proses pembangunan sebagai hab pelancongan dijangka bermula tahun ini selepas perbincangan terakhir bersama Jabatan Mufti Terengganu dan agensi berkaitan.