fb fb fb fb fb

Bakul Rahmah sasar untuk golongan miskin tegar

KUALA LUMPUR, 28 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan “Flag Off” Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun, Perak.

Majlis pelepasan konvoi itu diadakan di Lobi Pejabat Ketua Majlis, Bangunan Parlimen, pagi tadi.

Konvoi melibatkan enam buah lori itu membawa 1,500 Bakul Rahmah untuk diagihkan kepada golongan miskin tegar.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, sehingga hari ini, sebanyak 26,150 Bakul Rahmah telah diagihkan ke seluruh Malaysia dengan bantuan sumbangan berbentuk makanan asas daripada Yayasan Global Mesra (YGM).

(Datuk Seri Salahuddin Ayub)

"Kita telah hantar ke kawasan-kawasan yang memerlukan dan kita fokuskan setakat ini, Alhamdulillah negeri yang menghadapi banjir baru-baru ini. Jadi Alhamdulillah pagi ini YB PM  hadir sekejap, itu pun beliau kata tak payahlah tetapi sebagai ahli parlimen beliau juga layak untuk dapat di kawasan beliau dan semua faham ada golongan miskin tegar.

"Saya ingatkan bantuan ini bukan seperti bantuan lain, ia hanya mensasarkan golongan miskin tegar sahaja jadi kita beri amanah kepada MP dengan penjaga pusat khidmat memastikan bantuan Rahmah ini hanya diberikan kepada golongan miskin tegar sahaja," kata Salahuddin, selepas mengiringi Perdana Menteri “Flag Off” Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun di Parlimen.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan menggerakkan Inisiatif Bakul Rahmah ini dengan kerjasama bersama Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya) agensi Kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Inisiatif Bakul Rahmah semakin mendapat perhatian ramai terutama syarikat korporat dan hal ini akan diumumkan dari semasa ke semasa. 

KPDN juga amat berbesar hati untuk menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada semua pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar.

Media Baharu