KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.
Selain itu, lima Wilayah Koridor utama negara juga akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion iaitu meningkat dua kali ganda berbanding 690 juta pada tahun ini.
Tambahnya, pada tahun hadapan kerajaan komited untuk melaksanakan lima program utama.
Pertama, Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos RM80 juta.
Kedua, sebanyak RM63 juta ringgit diperuntukan untuk Program Pembangunan Modal Insan di bawah ECERDC antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak B40.
Ketiga, kerajaan memperuntuk RM80 juta untuk sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor.
Keempat, peruntukan sebanyak RM25O juta untuk Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah.
Dan terakhir, kerajaan akan memperuntuk RM100 juta untuk Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak.
Sementara itu, katanya, kerajaan juga merancang untuk membangunkan bandar-bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, Indonesia dengan kos sebanyak RM150 juta.
"Antaranya pembangunan di Bukit Kayu Hitam Kedah, Kalabakan di Sabah serta Tebedu dan Bakelalan di Sarawak," katanya pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
(Persempadanan Kalabakan di Sabah ke Simanggaris Indonesia)
Tambahnya, kerajaan bercadang untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan di Sabah ke Simanggaris Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu Sarawak ke sempadan Indonesia.
Dalam pada itu, untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi koridor, pakej galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan ditambah baik dan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.
Zafrul berkata pertumbuhan ekonomi di utara akan terus dipacu melalui projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
"Kerajaan berhasrat untuk membangunkan hab lalu lintas digital dan pusat data alternatif bagi rantau Asia Tenggara di kawasan seluas 200 ekar di SBEZ Delapan," katanya.
Menurutnya, pada tahun hadapan, RM25 juta disediakan oleh kerajaan untuk menyediakan infrastruktur utama di samping sektor swasta pula akan melabur aset perniagaan.
"Maka dengan ini membolehkan potensi pelaburan domestik sehingga RM4 bilion dan menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan," tambahnya lagi.