fb fb fb fb fb

Bajet 2023: Pembangunan Hal Ehwal Islam memfokuskan pendidikan dan industri halal

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menyambut baik peruntukan sebanyak RM1.5 bilion yang diberikan untuk Pembangunan Hal Ehwal Islam menerusi Bajet 2023.

Menerusi hantaran di media sosial rasminya, beliau berkata, bajet kali ini membuktikan bahawa pengurusan dan pembangunan syiar Islam sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad)

Dalam memperkasa pendidikan Islam, sebanyak RM150 juta telah diperuntuk, meningkat RM10 juta berbanding bajet tahun ini.

Ia bagi menyelenggara fasiliti pendidikan di bawah seliaaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) antaranya sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok.

Sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap murabbi ummah pula, sebanyak RM500 akan diberikan secara sekali bayar kepada guru-guru KAFA, takmir, bilal, noja, siak dan marbut melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta.

Selain itu, kerajaan juga turut merangsang pembangunan Industri Halal dengan suntikan RM92 juta termasuk inisiatif mengupayakan warga OKU melalui Wakaf Halal PKS OKU.

Datuk Idris berkata, semua peruntukan akan diselaraskan sewajarnya secara berwibawa bagi pengukuhan pengimarahan Islam di negara ini.

Media Baharu