fb fb fb fb fb

Awas terima e-mel guna identiti pemimpin negara, ketua organisasi

KUALA LUMPUR, 4 Jun- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai agar berhati-hati jika menerima e-mel yang menggunakan identiti meliputi nama dan gambar pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan sebarang komunikasi seperti itu perlulah disemak, ditentukan kesahihannya dan tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

"Ini bertujuan untuk mengelakkan dari menjadi mangsa kepada aktiviti yang berniat jahat dan berunsur penipuan.

"Penyebaran kandungan palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," menurut kenyataan itu.

Peringatan ini dikeluarkan hasil aduan orang ramai berikutan penerimaan e-mel yang tidak ditentusahkan telah ditangkap layar dan disebarkan melalui aplikasi pemesejan dalam talian.

Orang ramai diminta membuat laporan polis, sekiranya telah dipastikan kandungan e-mel tersebut tidak benar bagi tindakan sewajarnya.

"Sekiranya ada menerima e-mel yang mencurigakan, sertakan 'email header' bagi e-mel tersebut semasa mengemukakan laporan kepada pihak polis," tambah kenyataan itu.

Orang ramai juga boleh membantu menghentikan penyebaran e-mel berkenaan dengan melaporkan penyalahgunaan e-mel kepada penyedia perkhidmatan seperti Gmail atau Yahoo! Mail di pautan seperti berikut:

Gmail (Avoid and report phishing emails): https://support.google.com/mail/answer/8253

Yahoo! Mail (Report abuse or spam on Yahoo): https://my.help.yahoo.com/kb/SLN26401.html

Media Baharu