fb fb fb fb fb

21 PKRC di Kelantan ditutup

KOTA BHARU, 4 Jun- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menutup 21 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri itu Khamis lepas memandangkan kes jangkitan tidak membimbangkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, hanya tiga PKRC masih beroperasi di hospital sebagai persediaan menerima pesakit COVID-19.

"PKRC awam kita telah tutup cuma kita bersedia, hospital bersedia tapi kita jangka tidak berlaku peningkatan mendadak yang bersedia tu di Hospital Pasir Mas, HRPZ dan Pasir Puteh," kata beliau kepada pemberita selepas majlis makan malam meraikan 56 petugas barisan hadapan yang terlibat sepanjang pandemik COVID-19 di sini.

(Datuk Dr Zaini Hussin memaklumkanĀ 21 PKRC di Kelantan ditutup)

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir.

Menurut Zaini, bilangan kes harian COVID-19 mencatatkan dua angka sejak sebulan lalu dengan terbaharu, 14 kes direkodkan semalam dan 17 kes Khamis lalu.

Mengulas perkembangan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) beliau berkata, sehingga kini Kelantan merekodkan sebanyak 5,500 kes dengan trend jangkitan mendatar.

"Dari segi penularan kita lihat tak serius dan telah buat pemantauan di TASKA, PASTI dan prasekolah. Setakat ini masih ditutup lima daripada 20 TASKA yang kita tutup yang lain dah buka setelah tutup 10 hari," katanya.

Media Baharu