fb fb fb fb fb

PM ucap selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia

SEPANG, 4 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci dalam pertemuan di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini.

Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan 295 jemaah haji yang dijadual berlepas ke Tanah Suci sebelum mereka menaiki lapan buah bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin.

(Ismail Sabri menyantuni jemaah haji yang berlepas ke Tanah Suci hari ini)

Penerbangan pertama hari ini dijadual pukul 1.35 tengah hari dari KLIA Sepang menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV 5635) dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad Bin Abdulaziz, Madinah pukul 4.55 petang waktu tempatan.

Ismail Sabri turut memberikan kata-kata semangat kepada jemaah haji setelah dua tahun ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan juga Saudi Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam Kelima.

Media Baharu