LUMUT, 4 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Perak berjaya menyelamatkan seorang lelaki warganegara Indonesia selepas terapung selama lima hari susulan bot yang dinaiki karam pada 27 Mei lalu.
Lelaki berusia 41 tahun itu merupakan salah seorang daripada lima mangsa Bot Barter Trade milik Indonesia yang karam di perairan Pulau Pinang ketika menuju ke pelabuhan Kantang, Thailand dari perairan Langsa, Acheh.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Yusuf, merupakan anak kapal terakhir yang berjaya diselamatkan di Malaysia.
"Bot barter trade bersama lima kru yang bertolak dari Perairan Langsa, Aceh pada 27 Mei itu dikatakan sedang menuju ke Pelabuhan Kantang, Thailand dan telah gagal dihubungi.
"Mangsa kelima Muhammad Yusuf, 41 tahun pula ditemui dalam keadaan selamat oleh bot nelayan tempatan PKFB 1856 dari Hutan Melintang," katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Hambali, pada 30 Mei lalu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah menerima maklumat dari pihak berkuasa Indonesia (BASARNAS) berkenaan penemuan tiga orang mangsa di kedudukan kira-kira 9.2 batu nautika barat daya Pulau Singa Besar, Pulau Pinang.
Seorang lagi mangsa ditemui oleh kapal nelayan KM Cahaya Laut di kedudukan kira-kira 80 batu nautika dari Pangkalan Brandan, Indonesia pada 1 Jun.