KOTA KINABALU, 4 Jun - Industri Kreatif antara Sektor yang mampu memberi impak besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata masih banyak berkaitan industri kreatif yang boleh diteroka dan diketengahkan khasnya di Sabah yang boleh membanggakan negara.
Menurutnya, Sabah adalah negeri yang kaya dengan kreativiti serta keupayaan untuk mengetengahkan pelbagai karya industri kreatif.
"Pembukaan ibu kota Indonesia iaitu Nusantara juga mampu menjadikan Borneo sebagai pusat pertumbuhan industri kreatif baharu yang amat penting dan strategik di rantau ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Riuh Bah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini.
Untuk itu katanya, satu perancangan khusus perlu diteliti untuk menjadikan Sabah, Sarawak sebagai satu kawasan pertumbuhan industri kreatif baharu yang penting di Malaysia.