fb fb fb fb fb

ATM tahan 30 PATI di sempadan

BUKIT KAYU HITAM, 4 November - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan negara Malaysia-Thailand, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) memaklumkan kesemua PATI warga Myanmar itu ditahan menerusi tangkapan di bawah sektor Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di Bukit Kayu Hitam.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, Tim Ronda yang sedang melaksanakan tugas rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand mengesan pergerakan sekumpulan orang awam yang dalam keadaan mencurigakan cuba bersembunyi di kawasan belukar di dalam kebun getah.

"Anggota bertugas bersama Tim Quick Respond Force seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam tersebut," katanya menerusi kenyataan.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berumur antara 15 hingga 42 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 4 wanita.

Turut dirampas, 27 telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand, 24 kad pengenalan warga Myanmar dan 1 beg pakaian.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM17,000.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.

Media Baharu