KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Dokumen dan hasil kerja Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) telah sedia untuk disahkan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata dokumen itu telah dikemaskini untuk disahkan pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 esok, sebelum diumumkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
"Kebanyakan pihak yang sebelum ini menyatakan tidak bersedia untuk menandatangani perjanjian tersebut kini telah memaklumkan bahawa mereka telah mengemukakan instrumen kuasa penuh bagi membolehkan mereka menandatangani kedua-dua perjanjian itu," kata Mastura kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyediaan Pegawai Kanan Ekonomi bagi Mesyuarat AEC ke-26, hari ini.
Jelas beliau, Mesyuarat AEC ke-26 yang dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berlangsung esok akan tertumpu kepada proses pengesahan akhir terhadap keputusan yang telah dipersetujui.
Dalam masa sama, beliau berkata beberapa 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) juga akan diumumkan selepas mesyuarat AEC ke-26, manakala selebihnya akan diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.