LIPIS, 23 Oktober -Kerajaan mengekalkan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebagai mekanisme utama bagi penyelenggaraan jalan luar bandar selepas siap dibina oleh kerajaan Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap jalan yang dibina terus diselenggara dengan baik oleh kerajaan negeri.
Jelas beliau, sistem MARRIS juga melambangkan hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan kemudahan rakyat di luar bandar sentiasa terpelihara.
“Ini kita serahkan sebagai simbol bahawa kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan dan membina.
Apabila ia siap, kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk secara rasminya kerajaan negeri menguruskan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan JKR daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penyerahan projek jalan dan jambatan dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela di Kuala Lipis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Projek bernilai RM157 juta itu dilaksanakan JKR melalui kaedah reka dan bina.
Ia melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 17.5 kilometer serta tiga jambatan utama.
Apabila siap kelak, laluan itu memendekkan jarak perjalanan antara Kampung Mela di Lipis dan Kampung Labu di Jerantut daripada 60 kilometer kepada hanya 17 kilometer.
Tempoh perjalanan turut berkurang kepada 15 minit berbanding sejam sebelum ini.
Selain memudahkan penduduk setempat, jalan baharu itu juga menjadi laluan pelancongan strategik yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Tanah Tinggi Cameron Highlands melalui Kuala Lipis.