KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 25 hingga 27 Oktober ini, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan yang akan berlangsung di ibu negara.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Presiden Lula da Silva hadir ke sidang kemuncak berkenaan sebagai tetamu Pengerusi ASEAN.
"Lawatan ini merupakan yang pertama oleh Presiden Lula da Silva ke Malaysia sejak memegang jawatan bagi penggal baharu pada Januari 2023.
"Lula da Silva akan diiringi oleh Wanita Pertama, Puan Janja Lula da Silva, beberapa Menteri Kabinet serta pegawai kanan Kerajaan Brazil," menurut kenyataan itu.
Sidang kemuncak itu menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN bersama rakan luar utama bagi memperkukuh kerjasama serantau, keterangkuman dan kelestarian.
Presiden Lula da Silva akan diberikan upacara sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, pada 25 Oktober, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula hubungan dua hala Malaysia–Brazil serta membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, sains dan inovasi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan dan pendidikan.
"Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk kerjasama dalam kerangka ASEAN, BRICS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta persiapan Brazil sebagai tuan rumah COP30 di Belem pada November ini," tambah kenyataan itu.
Perbincangan dijangka meneroka potensi kerjasama bawah Global Alliance Against Hunger and Poverty, di samping menegaskan komitmen kedua-dua negara terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Presiden Lula da Silva dan Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) meliputi bidang semikonduktor, sains, teknologi dan inovasi serta kerjasama antara badan pemikir.
Turut dimeterai ialah Pertukaran Nota (EoN) mengenai latihan diplomatik dan Surat Niat (LOI) dalam kerjasama sumber genetik dan bioteknologi.
Sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan, Presiden Lula da Silva akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pembangunan Antarabangsa dan Selatan Global oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Majlis Konvokesyen Khas 25 Oktober ini.
Presiden Lula da Silva juga dijadualkan menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20, serta Majlis Jamuan Gala yang akan dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau juga dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia dari 25 hingga 26 Oktober.
Pada tahun 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM20.36 bilion.
Eksport utama Malaysia ke Brazil terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, jentera, minyak sawit, getah, peranti perubatan dan farmaseutikal halal, manakala import dari Brazil merangkumi bijih logam, makanan terproses serta produk petroleum.
Lawatan rasmi itu mencerminkan hubungan rapat dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Brazil, berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama serta aspirasi memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan demi manfaat kedua-dua negara.