fb fb fb fb fb

ATAM disaran lebih agresif sasar lebih ramai asnaf - Raja Muda Perlis

(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)

TRANG, THAILAND, 7 Oktober- Akademi Tranformasi Asnaf Maips (ATAM) perlu terus proaktif dan lebih agresif untuk mencari lebih ramai golongan asnaf mengikuti pelbagai program serta latihan yang disediakan.

Ini bagi mencapai objektif ATAM dalam melahirkan modal insan asnaf yang seimbang dari segi sahsiah, pendidikan dan kemahiran, seterusnya meningkatkan keupayaan ekonomi asnaf menerusi keusahawanan dan perniagaan. 

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap fungsi dan fasiliti ATAM yang sedia ada terus dapat dioptimumkan.

Selain itu, melalui bidang keusahawan khususnya ATAM perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menarik minat para asnaf. 

"Kreatif dan inovatif dalam menarik minat golongan asnaf ke arah bidang keusahawanan. Melalui penajaan bantuan modal atau peralatan perniagaan serta khidmat nasihat dan bimbingan berterusan dengan kerjasama agensi yang berkepakaran, ATAM berupaya melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang berjaya. Konsep ‘mentor-mentee’ sangat sesuai diaplikasikan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan ‘Bengkel Halatuju Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Tahun 2024 yang diadakan di Wilayah Trang, Thailand, pada Jumaat.

(Tuanku Syed Faizuddin berfoto selepas Bengkel Halatuju ATAM Tahun 2024 yang diadakan di Wilayah Trang, Thailand, pada Jumaat)

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menerima menghadap Timbalan Gabenor Wilayah Trang, Skul Dumrongkiatkul bagi membincangkan hubungan rapat antara Perlis dan Thailand terutamanya melibatkan Majlis Agama Islam serta komuniti Muslim di enam Wilayah Andaman di Selatan Thailand.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

ATAM juga mempunyai Taman Desa Asnaf yang juga merupakan platform terbaik sebagai sebuah ladang untuk bercucuk tanam selain melatih peserta asnaf dengan pelbagai program latihan sekali gus menjana ekonomi mereka melalui hasil yang dituai.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin berharap fungsi zakat dapat diperkasakan lagi apabila ia dilihat berpotensi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. 

Ini termasuk memperkasakan aspek kutipan dan pengagihan zakat secara berkesan supaya sampai kepada kumpulan sasaran tanpa berlaku sebarang ketirisan. 

"Inisiatif mengkomersialkan zakat perlu ditinjau daripada kacamata positif. Bahkan, usaha itu perlu dimulai sekarang disertai keazaman bagi merealisasikannya. Pelaburan wang zakat mungkin dianggap perkara baru dalam pengurusan zakat. Kajian mendalam mengenai potensi dan kaedah pelaksanaannya mengikut perspektif Islam perlu dilakukan. Melalui aktiviti ini, ia dapat mengembangsuburkan lagi dana masyarakat Islam yang bukan kecil jumlahnya untuk kemaslahatan pembangunan ekonomi ummah," titah baginda.

Media Baharu