JITRA, 24 Mac- Asrama siswa Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di Jitra, Kedah yang telah berusia lebih 40 tahun akan diselenggara dan ditambah baik.
Ia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan warga kampus sentiasa terjamin.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan perkara itu menerusi laman facebook rasminya selepas meninjau keadaan dan kebajikan para pelajar yang menghuni bangunan tersebut, pagi tadi.
Terdahulu, beliau singgah sahur bersama kira-kira 600 warga POLIMAS dan beramah mesra bersama Majlis Perwakilan Pelajar, MPP POLIMAS diketuai Muhammad Faris Aqil Mohd Nasir. Ia bersempena siri Program Semarak Ramadan di POLIMAS.
Pada program itu juga, beliau turut memberi sumbangan berbentuk baucer kepada 100 pelajar POLIMAS dan sumbangan RM5,000 kepada MPP politeknik tersebut bagi melaksanakan pelbagai aktiviti.