fb fb fb fb fb

Lebih tujuh juta rakyat Malaysia daftar PADU

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

PENDANG, 24 Mac- Lebih 7.36 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan berakhir pada 31 Mac ini.

Jumlah itu meliputi 35 peratus daripada penduduk di seluruh negara berusia lebih 18 tahun.

Bagaimanapun Ketua Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan rekod pendaftaran ia menunjukkan lebih 10 juta rakyat negara ini merangkumi ketua isi rumah dan tanggungan mereka, telah disepadukan ke dalam sistem tersebut.

"Kita jangka jumlah pendaftaran boleh mencapai lebih tinggi daripada apa yang kita capai sekarang. Sebenarnya kalau kita lihat kapasiti kita lihat boleh menerima sehingga dekat 700,000 ke 800,000 satu hari," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dalam  Siri Jelajah Padu Komuniti Siam di Kampung Tok Set.

Mohd Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan peningkatan ketara dalam pendaftaran dalam beberapa hari akan datang, berikutan kadar pendaftaran harian semakin meningkat baru-baru ini terutama daripada golongan muda.

Dianggarkan kira-kira 20 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan umur 18 tahun. Mengikut rekod, pihaknya pernah merekodkan lebih 300,000 pendaftaran dalam satu hari.

DOSM akan mempergiatkan usaha dalam tempoh lapan hari lagi untuk memaksimumkan kadar pendaftaran dan bersiap sedia untuk menampung sehingga 800,000 pendaftaran setiap hari.
 
Selain itu akan memperluaskan penyediaan kaunter fizikal dan meningkatkan jangkauan melalui pelbagai platform media untuk menekankan kepentingan PADU.

Mengenai pendaftaran Padu di Kedah, beliau berkata statistik itu memberangsangkan, dengan 33 peratus atau kira-kira 533,000 rakyat Kedah telah mendaftar.
 
Pada masa sama beliau turut menangkis pernyataan tidak berasas mengenai PADU.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI