fb fb fb fb fb

Majlis Keselamatan PBB gagal capai resolusi gencatan senjata - Mohamad Hasan

Datuk Seri Mohamad Hasan

RANTAU, 24 Mac- Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan rasa kesal dan kecewa berhubung kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai resolusi genjatan senjata Palestin kali ke-9, dua hari lalu.

Beliau menyatakan bahawa resolusi yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat itu gagal berikutan tidak mendapat sokongan daripada beberapa negara termasuk Rusia dan China yang tidak berpuas hati dengan kenyataan cadangan tersebut disifatkan tidak menyeluruh dan berat sebelah.

Antaranya menggelarkan Hamas sebagai pengganas selain tidak menyatakan cadangan membawa pulang rakyat Palestin ke kampung halaman serta tidak menyatakan pembebasan lebih 8,000 tebusan rakyat Palestin oleh Israel seperti cadangan pembebasan tebusan rakyat Israel.  

"Malaysia membawa suara tegas sekurang-kurangnya hentikan pembunuhan kejam yang tidak berperikemanusiaan ini. Ia menjejaskan kanak-kanak serta wanita yang tidak berdosa.

"Mereka (penduduk Palestin) ini dikumpulkan di Rafah kerana mengatakan kawasan tersebut selamat, kemudian melakukan serangan di sana," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan kepada penerima bantuan di sini.

Dalam perkembangan lain keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) bertanding secara sendirian atau bekerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diputuskan di peringkat pusat.

Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu dibuat.

Namun BN Sabah perlu mengemukakan cadangan kepada kepimpinan pusat jika mahu bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

"Walaupun UMNO Sabah ada autonomi mentadbir tetapi dalam soal pilihan raya, ia perlu mendapat kelulusan daripada ibu pejabat. Ibu pejabat yang akan menentukan hala tuju parti BN.

"Kalau misalnya (kerjasama) dengan parti A kita (BN) boleh menang, jadi dengan parti itulah atau bersendirian rasa dah kuat, boleh juga bersendirian tetapi BN Sabah mesti mendapat nasihat dan kata putus dari ibu pejabat," katanya.

Semalam Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata parti itu dan UMNO Sabah telah mengadakan perbincangan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI