LIMBANG, 1 Julai- Tindakan pantas warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit berjaya menyelamatkan sebuah blok asrama pelajar daripada musnah dalam kejadian kebakaran, malam ini.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam satu kenyataan berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang bergegas ke lokasi yang jauhnya 43 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 8.07 malam.
"Setibanya di lokasi kejadian, hanya lapan peratus yang terjejas akibat kebakaran dam tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kebakaran tersebut juga dapat dipadam oleh warga SMK Medamit dengan menggunakan sembilan unit alat pemadam api dan air paip, sebelum pihak bomba tiba di lokasi," kata kenyataan itu.
Pihak bomba bagaimanapun tetap melaksanakan pemeriksaan dan mengesahkan bahawa kebakaran telah padam sepenuhnya.