KUALA LUMPUR, 12 Februari - Peranan tiga agensi utama sektor koperasi negara akan diselaras semula, ke arah pembangunan koperasi yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata matlamat itu akan dicapai menerusi Aspirasi Koperasi Malaysia yang menggariskan hala tuju lebih jelas, sekali gus mengelakkan pertindihan fungsi agensi berkenaan.
Inisiatif melibatkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMA) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
"Agensi ini mestilah bekerjasama, rancang bersama supaya mempunyai matlamat yang sama. Ini kerana ketiga-tiganya ialah agensi yang terbesar untuk menggerakkan koperasi dalam negara.
"Sebab itu kita akan buat Coopmart, sekarang kita nak selaraskan Angkasa pun ada kedai koperasi, SKM pun ada kedai koperasi, jadi kita kena duduk selaraskan supaya kita mempunyai identiti yang sama," katanya.
Noh ditemui pada Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi, di sini hari ini.
Bagi mengiktiraf sumbangan sektor itu, beberapa program bakal dianjurkan termasuk Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 dan Hari Koperasi Negara 2022.