KUALA LUMPUR, 14 November- Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menerima Anugerah Pendukung Seni pada Majlis Anugerah Seni Negara 2024 yang berlangsung di ibu negara.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Datuk Suhaimi berkata anugerah itu merupakan satu pengiktirafan terbaik dan menjadi pemangkin ke arah memperkasa peranan jabatan untuk memartabat seni tanah air.
"Cakap saja apa cabang seni, RTM sentiasa akan membawakan hiburan dan memang kewujudan kita untuk memartabatkan seni. Jadi, itu antara banyak tugas dan tanggungjawab RTM.
Apabila kita menerima anugerah ini, saya rasa ini satu penghormatan buat keluarga RTM yang bertungkus-lumus sepanjang tahun, bukan sahaja sepanjang tahun malah daripada dulu lagi," kata Datuk Suhaimi kepada pemberita, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Seni Negara 2024 yang berlangsung di ibu negara.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail menerima Anugerah Karyawan Seni Muzik.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Datuk Mokhzani menyifatkan penganugerahan tersebut amat bermakna untuknya sepanjang lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik.
"Saya tidak menganggap ini sebagai laluan yang mudah kerana lebih daripada 100 pencalonan dikemukakan. Dalam usia seperti ini, saya masih aktif dalam bidang muzik dan sama ada berkarya dalam orkestra dan buat persembahan.
Ini akan memberi semangat untuk saya bergerak seaktif dalam usia sebegini," kata Datuk Mokhzani kepada pemberita, malam tadi.
Jelasnya, pencapaian pada hari ini juga merupakan satu penghargaan buat anak-anak seni.