(Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington pada Jumaat (Sabtu di Malaysia)
WASHINGTON, 13 Mei- Pemimpin-pemimpin ASEAN bersoladirati dengan tegas dalam pendirian terhadap isu antarabangsa yang dibangkitkan di hadapan Presiden Joe Biden pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah menyeru semua negara menghormati pendirian ASEAN dalam perkara itu.
Perdana Menteri antara lain membangkitkan isu Palestin yang masih berlarutan semasa pertemuan itu, dan menggesa Washington menggunakan pengaruhnya dalam menyelesaikan konflik berkenaan.
Jelas Ismail Sabri pemimpin ASEAN juga menunjukkan pendirian bersama ketika membincangkan isu Rusia-Ukraine dan Laut China Selatan.
Malaysia menegaskan bahawa negara-negara Asia Tenggara turut terjejas akibat perang, terutamanya dari segi kenaikan inflasi dan harga makanan, justeru gesaan dibuat agar peperangan diselesaikan melalui cara aman.
ASEAN mahu krisis Rusia-Ukraine diselesaikan melalui meja rundingan, katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri sesi akhir sidang kemuncak khas dua hari itu bersama Presiden Biden dan pemimpin ASEAN.
“Perang tidak menguntungkan sesiapa. Malah banyak pihak yang rugi kerana kesan perang itu,” katanya.
Dalam konteks ini, Malaysia, kata beliau, berpendapat AS harus menggunakan pengaruhnya untuk membantu menyelesaikan krisis Rusia-Ukraine.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai Naib Presiden AS, Kamala Harris dan pemimpin ASEAN
dalam perbincangan mengenai ‘Clean Energy Transformation and Sustainable Infrastructure’ ketika
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Jabatan Negara AS, Washington DC/FOTO BERNAMA)
Malaysia juga merupakan satu-satunya negara yang menekankan Amerika perlu jujur dalam menyelesaikan isu Palestin.
Perdana Menteri berkata beliau turut membangkitkan isu Palestin semasa pertemuan itu dan menggesa Washington menggunakan pengaruhnya dalam menyelesaikan isu itu.
“Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesai isu tersebut.
“Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin,” katanya.
Perbincangan antara pemimpin Asean dan Biden berlangsung di Jabatan Negara Amerika Syarikat selama hampir 3 jam.
Mesyuarat itu dihadiri oleh semua pemimpin ASEAN kecuali dari Myanmar dan Filipina.
Myanmar tidak dijemput manakala Filipina sedang menghadapi pilihan raya umum.
Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri sidang kemuncak itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-Cha, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos Dr Phankham Viphavanh turut hadir.