KUALA LUMPUR, 17 Februari- 'ASEAN Power Grid' mampu menggalakkan keterjangkauan dan daya tahan tenaga di seluruh rantau ASEAN.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia turut mempercepat integrasi tenaga boleh diperbaharui.
Tegasnya, Malaysia komited membangunkan ekonomi inklusif dan lestari, dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih 70 peratus.
"Kita berusaha untuk membina sebuah komuniti ASEAN yang berdaya tahan, saksama dan peka terhadap perubahan iklim. Inisiatif utama dalam perjalanan ini adalah ASEAN Power Grid, satu usaha transformasi untuk meningkatkan keselamatan tenaga serantau dan kelestarian melalui rangkaian elektrik merentas sempadan.
"Pengukuhan ASEAN Power Grid bukan sahaja akan mempercepatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga menggalakkan keterjangkauan dan daya tahan tenaga di seluruh ASEAN", katanya.
Tambahnya, penyelesaian kepada isu perubahan iklim memerlukan usaha kolektif yang merangkumi teknologi, dasar, serta inovasi dari peringkat akar umbi.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Penutup Forum Ekonomi Belia Asia 2025.