PETALING JAYA, 2 Julai - Pakar hak asasi dan keselamatan serantau melihat ASEAN berada di persimpangan genting jika gagal membentuk satu rangka kerja komprehensif bagi menjamin keamanan jangka panjang.
Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Edmund Bon Tai Soon berkata, ketiadaan model tetap untuk menangani konflik telah menyebabkan kelewatan dan ketidaktentuan dalam reaksi ASEAN terhadap pelbagai ancaman.
“Apabila krisis berlaku, kita tidak ada templat kukuh untuk diguna pakai. Justeru, enam bengkel telah dianjurkan untuk mencari formula terbaik mencegah konflik dan mengukuhkan keamanan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program serantau anjuran AICHR dengan kerjasama Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (AMNS) di sini.
Dalam pada itu, wakil Thailand, Dr. Bhanubhatra Jittiang menegaskan, rangka kerja yang inklusif dan dipersetujui semua negara ASEAN mampu membendung risiko konflik serantau dengan peningkatan jenayah rentas sempadan.
“Kita perlukan satu sistem yang bukan sekadar melindungi kedaulatan negara, tetapi juga menjamin hak rakyat untuk hidup aman dan bermaruah,” katanya.
Beliau turut menyeru agar budaya keamanan dipupuk bukan sahaja di peringkat negara dan kerajaan, tetapi dalam kalangan setiap rakyat ASEAN sendiri. Menurutnya, ASEAN bernasib baik menikmati suasana aman ketika ini, namun situasi itu tidak boleh dianggap remeh.
Sementara itu wakil Vietnam, Amb Nguyen Trung Thanh pula berkata, pencegahan dan penyelesaian konflik perlu diarusperdanakan, berteraskan nilai-nilai asas ASEAN.
"Langkah-langkah ini dilihat penting bagi memastikan ASEAN kekal stabil dan bersatu dalam menghadapi cabaran masa depan serta bergerak seiring menuju matlamat Komuniti ASEAN 2045," katanya.