fb fb fb fb fb

ASEAN bukan sekadar 'one off show', Malaysia komited pacu daya saing anggota

Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Malaysia komited menjadikan ASEAN sebagai platform berterusan dan bukan sekadar 'one-off show'.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata negara anggota akan mendapat manfaat di samping memastikan ASEAN terus berkembang sebagai zon yang aman, neutral dan berdaya saing dan seterusnya berpotensi menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia.

"Jadi, kita tidak bergerak hanya sebagai jurujual bagi negara, tetapi kita bergerak sebagai satu ASEAN, sebagai sebuah kelompok pertumbuhan yang sangat sihat.

"Saya rasa kita perlu mempromosikan ASEAN ini bukan sebagai one off show sahaja. Ia tidak boleh menjadi one off show Sebaliknya, ia mesti menjadi sesuatu yang berterusan", katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo dan Lagu Rasmi bagi penganjuran ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) 2025 di Parlimen.

Mengenai pelancaran tersebut, beliau berkata ia bertujuan untuk memperkukuhkan imej Malaysia sebagai pemimpin dalam memperhebat usaha kolektif ASEAN dan memastikan bahawa kerjasama ini bukan hanya sekali-sekala, namun berterusan dalam jangka panjang.

Katanya, logo dan lagu rasmi itu akan menjadi wajah baru dalam semua acara ASEAN 2025.

Pelancaran ini juga bertujuan untuk memperkenalkan Malaysia sebagai negara yang bukan hanya mementingkan diplomasi, tetapi juga mempromosikan pelancongan, ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Lagu rasmi yang dilancarkan turut mencerminkan semangat moden dan aspirasi memperkukuhkan kerjasama serantau.

ROSLINA BINTI DIN