fb fb fb fb fb

ASEAN-BAC digesa kemuka cadangan spesifik, percepat pembangunan serantau

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Mei- Kerjasama erat antara sektor awam dan swasta merupakan tunjang utama dalam mempercepat pembangunan serantau, seiring dengan hala tuju ekonomi ASEAN pasca 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan strategik antara kerajaan dan komuniti perniagaan menjadi asas penting dalam menjayakan dasar pembangunan ASEAN secara menyeluruh.

"Izinkan saya menyertai sesi Libat Urus Pemimpin ASEAN bersama wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN. Seperti yang anda sedia maklum, selaras dengan dasar ASEAN, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta adalah asas yang penting kepada pembangunan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan sesi Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.

Menurut Perdana Menteri pemimpin ASEAN secara konsisten menyokong pendekatan itu, dengan melihat peranan komuniti perniagaan sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan.

"Sebab itu kita telah menjadikan ia sebagai satu prosedur tetap bahawa semua mesyuarat ASEAN akan libatkan ASEAN-BAC untuk menyuarakan pandangan dan memberikan cadangan," katanya lagi.

Menyentuh berkenaan cabaran semasa, Datuk Seri Anwar berkata negara-negara ASEAN perlu memperkukuh daya tahan dalaman dan mengoptimumkan potensi serantau, khususnya dalam pelaburan dan perdagangan intra-ASEAN.

"Tahun ini, kita perlu mengemudi landskap global yang semakin kompleks sama ada dari segi perubahan dinamik geopolitik mahupun amalan perlindungan unilateral oleh kuasa-kuasa besar. Jadi, kita perlu memperkukuh daya tahan dalaman negara masing-masing," katanya lagi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa komuniti perniagaan ASEAN supaya segera mengemukakan cadangan konkrit yang boleh dilaksanakan demi kemajuan bersama.

Sesi libat urus berhubung perkara itu merupakan antara agenda utama Sidang Kemuncak ASEAN selain memperkukuh sinergi sektor awam dan swasta dalam mendepani cabaran ekonomi serantau.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI