(Anwar Ibrahim dan Li Qiang)
JAKARTA, 6 September- Malaysia menegaskan pendiriannya dalam usaha melindungi kedaulatan negara dan rantau ASEAN daripada ancaman luar.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang kerjasama antara ASEAN dan China pada masa akan datang harus dibina berdasarkan kepercayaan antara dua entiti tersebut.
Beliau memaklumkan, Malaysia dan rakan-rakan ASEAN sentiasa menganggap China sebagai jiran dan rakan dagang penting, khususnya dalam aspek perdagangan, pelaburan dan susunan keselamatan.
"Saya ingin menekankan di sini, kerjasama pada masa akan datang sebahagian besarnya bergantung kepada rasa kepercayaan serta dialog pelbagai hala, khususnya dalam aspek keselamatan dan mempertahankan kepentingan ASEAN dan China," katanya pada sesi pertemuan antara pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri China, Li Qiang sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26 di sini.
Sementara itu, Malaysia sentiasa terbuka kepada usaha mengukuhkan hubungan, antaranya dengan China dan kerjasama tersebut harus bermula menerusi versi ketiga Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China.
Anwar percaya negara ASEAN boleh memanfaatkan hubungan yang terjalin daripada aspek program kerajaan, kepentingan rakyat dan program pertukaran rakyat ke rakyat.
Terdahulu, Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam ucaptamanya sebagai Pengerusi ASEAN berkata, kerjasama konkrit antara China dan ASEAN adalah sesuatu yang diperlukan.
(Anwar Ibrahim (dua kanan) bersama pemimpin negara ASEAN lain serta Perdana Menteri China,
Li Qiang (lima kiri) pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26
di Jakarta, Indonesia)