KUALA LUMPUR, 27 September – Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN- United Kingdom (UK) ke-5 terus mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua pihak dengan memberi fokus kepada cabaran global, perdagangan dan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu menjadi platform penting untuk bertukar pandangan mengenai kesan ketegangan perdagangan global terhadap perniagaan khususnya PKS.
Selain mencari pendekatan kerjasama bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran serantau.
"UK memberikan sokongan yang amat berharga kepada Komuniti Ekonomi ASEAN, khususnya dalam bidang inovasi digital, pembangunan PKS dan pemerkasaan ekonomi wanita," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mengalu-alukan kemajuan pelaksanaan Program Integrasi Ekonomi ASEAN-UK (EIP) yang menyokong rangka kerja kawal selia, perdagangan dan kewangan ASEAN dengan kepakaran daripada UK.
Katanya, kerjasama itu bukan sahaja membantu ASEAN berintegrasi dengan lebih berkesan ke dalam ekonomi global, malah memperkukuh daya saing rantau ini dalam aspek inovasi, kelestarian dan sokongan kepada PKS.
"Hubungan ekonomi ASEAN-UK akan terus diperkukuh bagi memastikan ia kekal berdaya tahan dan berdaya saing," katanya lagi.