KOTA KINABALU, 27 September - Sebanyak 4,000 rumah di seluruh Sabah bakal menerima manfaat program pendawaian semula elektrik yang akan dilaksanakan segera oleh GiatMARA.
Langkah itu diambil selepas banyak rumah dikenal pasti menggunakan sistem pendawaian lama yang tamat tempoh dan berisiko dari aspek keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada mulanya hanya 1,000 rumah dipohon, namun jumlah itu ditambah kepada 4,000 selepas perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, senarai awal penerima telah dikenal pasti dan kini dalam fasa perincian untuk pelaksanaan.
“Pemilihan penerima program ini mesti telus, tidak hanya diberikan kepada kenalan atau pihak tertentu, sebaliknya kepada keluarga yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai persiapan pilihan raya negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidmemaklumkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah mengenal pasti antara empat hingga lima nama calon berpotensi.
Menurutnya, proses penapisan awal telah selesai, namun senarai akhir calon akan ditentukan bersama kepimpinan negeri dan bahagian.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada calon yang bersih serta berwibawa, termasuk calon wanita yang berpotensi besar untuk menang.
Dalam perkembangan berlainan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid mahu lebih ramai wanita desa menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan masa depan yang lebih terjamin.
Beliau berkata, TVET bukan sahaja membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah mampu menjana pendapatan lumayan serta membentuk wanita berdikari.
Menurutnya lagi, TVET tidak hanya tentang mesin atau teknologi, tetapi meliputi bidang yang dekat dengan kehidupan seperti fesyen, jahitan, kulinari, kecantikan, pertanian moden dan perniagaan digital.
Kesemua kemahiran itu, boleh dipelajari dan digunakan untuk menjana rezeki.
Beliau berucap Merasmikan Program Inspirasi Wanita Luar Biasa TVET JELITA GIATMARA 2025 di Kota Kinabalu.
Setakat ini, 1,392 pelajar mengikuti pengajian di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu dan 28 pusat GIATMARA di Sabah, dengan 359 orang terdiri daripada belia wanita.
Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus pelatih wanita sedang menguasai kemahiran dalam bidang fabrik, kulinari, media kreatif dan automotif.
Beliau menegaskan, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan MARA akan terus memperbanyakkan akses latihan TVET termasuk di kawasan desa dan pedalaman.
Antara inisiatif yang diumumkan ialah pemindahan operasi GiatMARA Kalabakan dan Sipitang ke premis lebih kondusif, selain menaik taraf kemudahan sedia ada dengan peruntukan melebihi 20 juta ringgit.
Kerajaan turut memperkenalkan program baharu seperti TVET Tahfiz dan TVET GIG dengan peruntukan hampir RM500,000 bagi dilaksanakan di Sabah tahun ini.
Beliau menambah, usaha memperkasakan wanita bukan sekadar agenda dasar, tetapi gerakan bersama untuk menjadikan mereka agen perubahan dalam keluarga, komuniti dan negara.