fb fb fb fb fb

Program Junior Innovathon 2025: 50 pasukan terpilih mara ke separuh akhir

Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari RTM, Sariman Abdullah / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 September - Sejumlah 50 pasukan murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara yang terpilih mara ke peringkat separuh akhir program Junior Innovathon 2025.

Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari RTM, Sariman Abdullah berkata, pasukan itu terdiri daripada 25 pasukan sekolah rendah dan selebihnya dari pasukan sekolah menengah.

Jelas beliau, program tersebut turut membina keyakinan dalam kalangan pelajar untuk lebih berani tampil di hadapan khalayak ramai bagi mempersembahkan idea inovasi mereka.

"Sepanjang kita mengadakan 'road show' atau pun jerayawara di seluruh negara pada 1 hingga 12 September lalu,  macam-macam inovasi yang ada. Ada inovasi yang berkaitan dengan makanan, ada inovasi berkaitan dengan aplikasi, juga inovasi yang berkaitan dengan kehidupan seharian pun ada.

"Kita ada pilihan untuk juri menilai nanti disebabkan oleh terlalu banyak idea-idea inovasi yang mereka hasilkan dan mencetuskan idea inovasi tersebut. Jadi kita bakal tengoklah nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia, di sini hari ini.

Peringkat separuh akhir akan mula disiarkan di saluran TV1 bermula 12 Oktober ini, melibatkan lima episod.

Episod akhir pula akan menyaksikan 10 pasukan terbaik bersaing bagi merebut gelaran juara program Junior Innovathon 2025.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM