fb fb fb fb fb

BUDI95 beri impak kepada mahasiswa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Sepetmber - Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang dilaksanakan kerajaan turut memberi impak kepada golongan mahasiswa.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata usaha itu menyuntik sokongan moral kepada pelajar.

Ini terutama kepada mereka yang memiliki kenderaan sendiri.

"Mungkin penjimatannya sekitar RM30 hingga RM60 dalam masa sebulan. Ia sebenarnya dapat membantu mereka menggunakan wang lebihan untuk membeli keperluan-keperluan yang lebih penting.

"Terutamanya dari segi keperluan untuk pendidikan dan juga pembelajaran di institusi pengajian tinggi," kata ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM.

Beliau turut menyarankan agar pelajar menggunakan insiatif BUDI95 secara bijak bagi memastikan lebihan kewangan digunakan ke arah keperluan pendidikan dan pembangunan diri.

" Sebagai seorang pengguna terutamanya pengguna muda kita perlu menggunakan kelebihan ataupun inisiatif ini untuk keperluan yang lebih utama," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui penyasaran subsidi bawah inisiatif BUDI95.

Sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September diikuti 30 September bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID