KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Arab Saudi mengumumkan pemberian visa percuma bagi pemegang kad “Hayya” Piala Dunia 2022 yang beragama Islam untuk menunaikan umrah dan melakukan ziarah ke Madinah.
Perkara ini diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Visa, Kementerian Luar Arab Saudi Khaled Al-Shammari dalam satu temu bual bersama stesen TV Arab “al-Ekhbariya”, semalam.
Beliau berkata pemegang kad “Hayya” yang ingin menunaikan umrah dan ziarah perlu mendapatkan insurans kesihatan dari portal visa kementerian.
“Visa umrah dan ziarah ini sah bagi tempoh 11 November hingga 18 Disember 2022.
(Foto fail)
“Selain itu, pemegang visa juga tidak disyaratkan untuk memasuki Qatar terlebih dahulu di samping pemegang kad “Hayya” juga diberikan tempoh melawat Arab Saudi selama dua bulan sehingga 11 Januari 2023,” katanya.
Kementerian Luar Arab Saudi pada 24 Ogos lalu membenarkan pemegang kad “Hayya” untuk melawat negara teluk itu selama 60 hari. -BERNAMA