fb fb fb fb fb

APR laksana 206 program pendidikan pengundi, libatkan seramai 123,647 peserta - Ramkarpal

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 1 Mac - 206 sesi program pendidikan pengundi telah dilaksanakan Akademi Pilihan Raya (APR) tahun lalu melibatkan 123,647 peserta dari seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata program itu akan terus dipergiat dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk itu , katanya pihak APR telah mendatangani memorandum persefahaman dan nota kerjasama dengan 20 Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti tahun lalu bagi memperkasa program pendidikan pengundi dalam kalangan pelajar.

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),
Ramkarpal Singh)

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan APR juga menjalankan beberapa usaha dan program lain untuk mendidik pengundi muda iaitu seperti menyebar luas penyampaian maklumat pilihan raya kepada golongan belia.

"APR telah melaksanakan program pelatih bersekutu APR (AAT) bagi melatih lebih ramai penceramah dan jurulatih tentang proses pilihan raya di Malaysia kepada para pelajar sekolah dan sebagainya. Setakat ini seramai 273 peserta telah mengikuti latihan intensif tersebut seterusnya dilantik sebagai AAT," kata Ramkarpal ketika menjawab pertanyaan wakil Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Rakyat.

Tambah Ramkarpal, APR juga turut melakukan beberapa perkongsian di platform media sosial dengan penerangan yang lebih mudah dan ringkas mengenai proses pilihan raya.

Katanya, tahun ini APR merancang untuk melaksana program pendidikan pengundi di 482 institusi.

Media Baharu