fb fb fb fb fb

APMM Kuala Perlis berjaya patahkan cubaan seludup daun ketum seberat 2.3 tan ke Thailand

KUALA PERLIS, 17 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis mengagalkan cubaan menyeludup daun ketum ke Thailand seberat 2.3 tan bernilai RM414,000.

Turut dirampas 100 biji pil kuda bernilai RM2,500, 1.72 gram syabu bernilai RM688 dan heroin seberat 1.47 gram bernilai RM117.60.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, kejadian berlaku pada kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang, Perlis sekitar jam 7.55 pagi, Sabtu lalu.

Pasukan operasi khas telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran disyaki suspek sedang bergerak keluar dari Kuala Kedah ke sempadan Thailand sekitar jam 7.45 malam.

Dua suspek bertindak yang terjun ke laut sebaik menyedari bot peronda APMM namun berjaya ditahan.

"Ini merupakan rampasan terbesar untuk Zon Maritim Kuala Perlis bagi tahun 2022 iaitu dengan jumlah rampasan sebanyak 2.3 tan." katanya dalam sidang media khas di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis.

"Bagi bulan pertama tahun 2022, jumlah rampasan Maritim Kedah dan Perlis sahaja adalah 7.3 tan, di mana pada 4 Januari lalu, rampasan telah di buat di Zon Maritim Kuala Kedah berjumlah 5 tan," tambahnya.

Keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, dadah, bot fiber dan enjin sangkut berjumlah RM537,305.60.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985.

 

Media Baharu