APEC 2026: Malaysia tuntut tadbir urus digital beretika, benteng keselamatan siber

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33./ RTM

SHENZHEN, 19 November – Malaysia menggesa pembentukan kerangka tadbir urus digital dan kecerdasan buatan (AI) global berteraskan etika, selain menuntut komitmen lebih tegas dalam aspek keselamatan siber bagi melindungi rantau ini daripada ancaman rentas sempadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemajuan teknologi mesti dimanfaatkan adil untuk memperkasakan semua ekonomi, terutamanya negara sedang membangun.
  • Perlu kerjasama serantau lebih erat menangkis serangan siber rentas sempadan dan atasi jurang penguasaan teknologi.
  • Malaysia memperkukuh regulasi dengan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Kebangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan secara adil oleh semua ekonomi, khususnya negara sedang membangun di Selatan Global, tanpa membuka ruang kepada eksploitasi berniat jahat.

Beliau menyuarakan pendirian itu ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33 di sini, hari ini.

“Malaysia menyokong kuat pendekatan yang bersatu dan dipacu etika terhadap tadbir urus digital dan kecerdasan buatan.

“Kita mesti memastikan lonjakan teknologi memperkasakan semua ekonomi, khususnya ekonomi sedang pesat membangun di Selatan Global, dan bukannya mendedahkan mereka kepada eksploitasi berniat jahat,” katanya.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa inovasi teknologi perlu menjadi pemangkin kepada kemakmuran bersama, dengan memastikan manfaat kemajuan AI turut dirasai rakyat dan tidak hanya tertumpu kepada kelompok atau negara tertentu.

“Inovasi mesti berfungsi sebagai jambatan ke arah kemakmuran bersama. Tatkala kecerdasan buatan mengubah ekonomi global, kemajuan teknologi mesti memperkasakan rakyat kita serta menjunjung martabat mereka,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik, ketidakjaminan bekalan tenaga dan krisis iklim boleh menjejaskan mata pencarian rakyat dengan pantas sekiranya daya tahan serantau tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Peningkatan serangan siber rentas sempadan serta jurang penguasaan teknologi antara negara maju dan membangun turut menjadi antara isu penting yang memerlukan kerjasama lebih erat dalam kalangan ekonomi APEC.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar mengambil kesempatan memuji langkah Presiden China, Xi Jinping, menganjurkan sidang kemuncak tiga hala bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang disifatkan sebagai isyarat penting ke arah usaha mencapai keamanan berkekalan.

Dalam pada itu, Malaysia yang terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pusat data serantau, turut mempunyai asas kawal selia menerusi Akta Keselamatan Siber 2024 serta Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Kebangsaan (AIGE).

Pendekatan itu mencerminkan komitmen negara untuk memastikan pembangunan ekonomi digital berlangsung secara bertanggungjawab, selain mengelakkan negara sedang membangun daripada terus ketinggalan atau menjadi mangsa monopoli teknologi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.