QATAR, 13 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Doha bagi memulakan Lawatan Rasmi selama tiga hari ke Qatar.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pukul 9.37 malam Ahad waktu tempatan (2.37 pagi Isnin waktu Malaysia).
Ketibaan beliau dan delegasi disambut Timbalan Menteri Luar Negeri Qatar Sultan bin Saad Al Muraikhi.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara Asia Barat itu bagi memenuhi undangan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, selain menghadiri Forum Ekonomi Qatar 2024.
Datuk Seri Anwar akan diberi sambutan rasmi di Amiri Diwan yang merupakan dewan pemerintahan negara Qatar dan pejabat pentadbiran Emir Qatar.
Seterusnya, Perdana Menteri turut dijadual menghadap Sheikh Tamim dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al-Thani merangkap Menteri Luar Qatar.
Turut menjadi tumpuan ialah pertemuan Perdana Menteri dengan 30 wakil syarikat di Qatar dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.
Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan syarahan umum di Perpustakaan Kebangsaan Qatar selain bertemu rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.