fb fb fb fb fb

Anwar sifatkan lawatan ke Abu Dhabi berjaya

(Foto Anwar Ibrahim)

ABU DHABI, 7 Oktober- Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya.
 
Meskipun dalam tempoh singkat singkat, Malaysia meraih manfaat besar dalam aspek pelaburan selain hubungan kedua-dua negara terus diperkukuh.

Program padat Anwar bermula dengan menghadap Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Perihal berkaitan hal ehwal ekonomi, pelaburan dan isu global yang memenuhi visi kedua-dua negara antara dibincang kedua-dua pemimpin berkenaan.

Menurut Anwar, lawatan itu berjaya kerana pertemuan awalnya dengan Presiden UAE.

"Perbincangan berkenaan berkaitan kerjasama dua hala, isu-isu antarabangsa dan hati ke hati tentang isu-isu yang boleh saling membantu, memperkasa kedua-dua negara," kata Anwar.

Beberapa pertemuan tidak formal turut diadakan bersama pemain industri antaranya Yusuff Ali, Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Lulu, Yang Mulia Sheikh Hamed bin Zayed, Pengarah Urusan Pelaburan Abu Dhabi termasuk Yang Mulia Khaldoon Al Mubarak, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mubadala dengan hasil pertemuan yang signifikan.
 
Ia kemudian diikuti mesyuarat meja bulat yang diteraju Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama kapten industri sambil bertukar pandangan serta kesediaan negara menerima pelaburan dan kerjasama.
 
Dalam usaha meluaskan lagi hubungan sedia ada, Memorandum Persefahaman (MoU) pelaburan antara MIDA dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE dijalinkan.
 
Hasilnya, persetujuan kerjasama dimeterai menerusi MoU dalam bidang Tenaga Boleh Baharu (RE) dengan kapasiti 10 gigawatt bernilai AS$8 bilion menjelang 2025 di Masdar City pada awal hari kedua lawatan.
 
Komitmen pelaburan lain turut dimuktamad meliputi bidang aeroangkasa dan logistik masing-masing bernilai AS$150 dan AS$450 juta dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40.6 bilion.

Delegasi kemudian dibawa melawat Masjid Besar Sheikh Zayed yang terkenal dengan keunikan dan keindahan seni rekanya serta sempat menunaikan solat Jumaat di Abu Dhabi.

Mengakhiri lawatan, Anwar bertemu diaspora Malaysia dan menyampaikan hasrat UAE menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelaburan.


(Foto Anwar Ibrahim)

Media Baharu