fb fb fb fb fb

Anwar, Shavkat sedia bekerjasama perkukuh hubungan Malaysia-Uzbekistan

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev tengah hari tadi.

Kedua-dua pemimpin sempat membicarakan dan menilai kemajuan pelbagai perkara yang dipersetujui bersama-sama ketika kunjungan Anwar dan delegasi Malaysia ke Uzbekistan pada Mei lalu.

"Saya turut mengulangi jemputan untuk Presiden Shavkat berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin bersama-sama delegasi Uzbekistan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua-dua negara.

"Kami juga senada untuk menyegerakan urusan terkait kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, tenaga, pelancongan dan pendidikan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menerusi panggilan itu, beliau juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama berkenaan cadangan penganjuran Persidangan Imam Bukhari yang diutarakan Kerajaan Uzbekistan sebelum ini.

"Saya turut zahirkan penghargaan Malaysia terhadap dukungan berterusan Uzbekistan dalam konflik dan perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Palestin, selain isu-isu kemanusiaan dan geopolitik di Afghanistan," kata Anwar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI