fb fb fb fb fb

Anwar selamat tiba di tanah air dari Turkiye

SEPANG, 16 Februari- Kira-kira pukul 9.00 pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air selepas mengadakan lawatan sehari ke Turkiye.

Lawatan itu bagi menzahirkan komitmen Malaysia membantu rakyat Turkiye yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.

Pesawat khas membawa Anwar dan delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Turut sama lawatan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali disambut Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Ankara bagi menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia dan memaklumkan berkenaan bentuk bantuan yang telah diusahakan pihak kerajaan Malaysia.

Ketika lawatan sehari itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyantuni pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, Turkiye dan melahirkan rasa bangga atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan itu.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO FB anwaribrahimofficial)

Pasukan SAR itu dianggotai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia.

Setakat selasa, Malaysia berjaya mengumpul dana bantuan bencana di Turkiye sebanyak RM30 juta.

Media Baharu