KUALA LUMPUR, 3 Februari – Kerajaan komited memastikan hasil ekonomi negara digunakan sepenuhnya untuk pembangunan negara, dengan memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini termasuk pekebun kecil, petani, nelayan, serta pemain industri pertanian dan rantaian bekalan makanan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan perkara itu selepas Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15, hari ini.
"Patik dan seluruh jentera Kerajaan MADANI akan memastikan kek ekonomi ini digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Seri Paduka Baginda yang menekankan kepentingan memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar serta menarik lebih banyak pelaburan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong mengenai kepentingan penerapan teknologi tinggi, digitalisasi, dan keselamatan siber bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan.
"Ini akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai dinaik taraf sepenuhnya," tambahnya.
Anwar berharap dengan usaha berterusan ini, Malaysia akan terus kekal aman, makmur, dan berdaya saing di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim.
Anwar turut menjunjung kasih atas kesudian Yang di-Pertuan Agong mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15.